Rabu, 11 Mac 2009

Peniaga Melayu perlu keluar dari kerangka jika ingin maju - Artikel Sinar Harian 10 Mac 2009 N18

Peniaga Melayu perlu keluar dari kerangka jika ingin maju

Usaha kerajaan ingin melihat orang Melayu Islam berjaya dalam bidang keusahawanan sangat ketara dengan kewujudan pelbagai kemudahan pinjaman seperti Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Ekonomi Negeri dan pelbagai lagi.

Sehingga kini kita masih tertanya-tanya mengapa sebahagian besar daripada orang Melayu masih lemah dari sudut ekonomi dan masih lagi ketinggalan. Setiausaha Kehormat Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohd Yahya Mat Sahri dalam wawancara bersama Sinar Harian berkata, terdapat beberapa sebab penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu lemah. Antaranya ialah orang Melayu lebih cenderung makan gaji daripada berniaga.

“Ini disebabkan persekitaran budaya dan sosial orang Melayu melihat berniaga itu sesuatu yang asing. Dan selalunya orang kita sering kaitkan perniagaan dengan rugi dan bankrap. Ia memberi gambaran bahawa berniaga dan rugi itu adalah seiring.

Manakala budaya orang Cina pula sangat memandang tinggi mereka yang berniaga. Orang berniaga di anggap lebih matang daripada yang makan gaji. Kerja makan gaji dianggap sebagai pekerjaan sementara dan untuk mendapatkan pengalaman sementara menunggu masa sesuai untuk memulakan perniagaan.

Pada masa yang sama kita juga hampir tidak terfikir bahawa orang Cina juga menghadapi kerugian dalam berniaga. Apa yang kita nampak ialah orang Cina berniaga untung, orang Melayu berniaga rugi. Persepsi sedemikian perlu diperbetulkan. Untung dan rugi adat orang berniaga tetapi jika bijak merancang saya percaya untungnya lebih banyak daripada rugi. Jika kita selalu memikirkan rugi, maka rugilah yang kita dapat.

Saya bercakap bukan dalam konteks di Malaysia sahaja malah melibatkan seluruh dunia. Masyarakat Cina menguasai ekonomi dunia sebanyak 90% manakala orang Yahudi pula menguasai ekonomi melalui pengurusan. Buktinya, kebanyakan di sudut dunia ini akan ada bangsa Cina berniaga dan akan ada bandar mereka yang digelar ‘China Town’.

Mungkin ramai yang tidak perasan bahawa tidak ada satu sektor perniagaan pun di dunia ini dikuasai oleh orang Islam samada pertanian, penternakan, perladangan, perkhidmatan dan seterusnya. Sedangkan umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.9 bilion. Jadi di manakah kedudukan orang Islam dalam bidang Ekonomi sebenarnya?

Dan apabila timbul isu boikot dan isu halal dan haram, ia sukar ditangani secara bijak kerana umat Islam boleh di katakan bergantung sepenuhnya kepada produk bangsa asing daripada hal yang kecil hinggalah kepada yang besar. Contohnya dalam soal pemakanan. Walaupun ia kelihatan remeh namun ia memberi impak yang besar dalam pembentukan sikap seseorang kerana apa yang kita makan akan menjadi darah daging. Lalu sampai bila orang Islam akan terus bergantung pada bangsa lain?

Bukan tidak ada orang Islam yang berjaya dalam dunia perniagaan tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Apa yang saya dapati, kebanyakkan usahawan-usahawan Melayu Islam perlu keluar dari kerangkanya jika ingin maju dan lebih berjaya. Terutama sekali syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan membuka lebih banyak cawangan di luar Malaysia kerana kuasa membeli dalam Malaysia adalah terhad.

Suka saya nyatakan di sini bahawa samada kita suka atau tidak, kita harus akui bahawa kita perlu belajar daripada bangsa yang berjaya menguasai ekonomi dengan melihat serta mempraktikan apa yang mereka buat kerana saya percaya hampir semua umat Islam tahu bahawa berniaga itu lebih baik daripada makan gaji kerana 9/10 rezeki itu datang dari perniagaan.

Namun pada masa yang sama harus juga diingat bahawa mempelajari ilmu berniaga itu penting sebelum kita terjun ke dalam gelanggang. Tanpa persiapan yang lengkap belum tentu kita dapat bertahan dengan segala cabaran yang mendatang. Dan selebihnya jadikan pengalaman-pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan sebagai pengajaran dalam memperkemaskan lagi strategi dan perancangan perniagaan.

1 ulasan:

  1. Dari banyak segi, kita masih lagi disogokkan dengan mentali melayu berniaga dengan bangsa lain berniaga. Juga terlalu banyak sikap negatif seumpama bagaimana boleh berjaya sedangkan orang cina sudah bertahun dan menjadi sebahagian dari darah daging mereka. Mengapa perlu dibuat perbandingan tentang budaya mereka dan budaya kita.
    Berniaga diMalaysia juga perlu kepada kecenderungan politik tertentu. Tetapi kesemua ini adalah alasan semata. Bukankah Allah yang memberi rezeki dan kita hanya perlu berusaha dan memperbaiki setiap usaha kita.

    BalasPadam