Sabtu, 12 Januari 2013

PERLAKSANAAN PROJEK KERAJAAN PUSAT DISELEWENG DAN BERSTATUS PROJEK HARAM

KENYATAAN MEDIA BIRO KEPENGGUNAAN PARTI KEADILAN RAKYAT PERLAKSANAAN PROJEK KERAJAAN PUSAT DISELEWENG DAN BERSTATUS PROJEK HARAM Petaling Jya , 11 Januari 2013/ Jumaat Biro Kepenggunaan mendapat banyak rungutan dan aduan daripada Ketua-Ketua Kampung dan Ketua-Ketua Komuniti daripada pelbagai kawasan menyatakan bahawa terlalu banyak projek pembangunan serta pembinaan yang diselaraskan oleh Kerajaan Pusat khususnya yang melibatkan Negeri dibawah Pakatan Rakyat dilaksanakan dengan cara yang salah dan tidak mengikut peraturan. Banyak projek-projek yang diselaraskan oleh Kerajaan Pusat menjadi Projek Gajah Putih dan berstatus Projek Terbengkalai. Projek - projek senggaran serta baik pulih yang diuruskan oleh pihak ICU (Implementation Coordination Unit - ICU) iaitu Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri menjadi tanda tanya orang ramai dan masyarakat setempat. Biro Kepenggunaan difahamkan bahawa bajet bagi projek di bawah ICU tidak melalui KSN mahupun Perbendaharaan, Manual pelaksanaan projek mengariskan kaedah pelaksanaan projek seperti yang berikut ; semua projek permohonan cadangan dari ADUN dikemukakan kepada Pegawai Pembangunan Negeri (PPN ) untuk dipanjangkan kepada ICU. Senarai projek dibincang bersama diantara pegawai ICU dan PPN dan keputusan dilakukan oleh pegawai ICU. Senarai projek yang telah diluluskan dipanjangkan semula kepada PPN untuk dikemukakan ke Pejabat Daerah berserta waran pelaksanaan. Dalam manual peraturan juga menyatakan dengan jelas perlaksanaan semua projek pembangunan mestilah mengikut peraturan serta garis panduan yang telah dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri. Dalam membuat pembangunan Isu Pemilikan Tanah serta tukar syarat mesti diselesaikan selepas itu hendaklah memperolehi kebenaran merancang dari Pihak Berkuasa Tempatan terlebih dahulu serta mematuhi syarat-syarat kebenaran yang telah diberikan kepadanya. Merujuk kepada subseksyen 2(1) Akta 172, (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976) kebenaran merancang ditakrifkan sebagai ‘kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa syarat, untuk menjalankan pemajuan’. “Menjalankan pemajuan” disini bermaksud, sebarang tindakan pembangunan termasuk kerja-kerja yang memerlukan kelulusan di bawah lain-lain Akta. Semua pemajuan hendaklah memperolehi kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan, jika pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang atau pemajuan dijalankan berlawanan dengan kebenaran merancang, pemunya boleh disabitkan kesalahan di bawah Sekyen 27 dan Seksyen 28 Akta 172. Hukuman yang boleh dikenakan adalah mengikut Subseksyen 26(1), iaitu denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Rungutan serta aduan yang bertubi-tubi memaksa Biro Kepenggunaan membuat kajiselidik bagi mendapatkan pengesahan kepada aduan yang diterima. Kami merujuk kepada salah satu Daerah di Selangor iaitu Daerah Kuala Selangor, kami telah selidiki salah satu senarai Projek Kecil penyelarasan ICU. Terdapat 18 Projek Kecil yang dilaksanakan di kawasan kampong-kampung yang menimbulkan banyak keraguan, bagaimana nilai projek sehingga RM 90,000.00 boleh dibuat secara gotong-royong (maksudnya tanpa melantik kontraktor), bagaimana projek sebegini dibuat tanpa spesifikasi yang jelas, kemanakah pembayaran dibuat kerana projek dibuat secara gotong royong, siapakah pegawai teknikal dan pegawai pemantau bagi mengesahkan perjalanan projek. (hasil penyelidikan yang kami lakukan banyak pertindihan kerja dibuat) Kami juga dibawa melawat dan meneliti dua projek besar yang menelan belanja lebih RM 24 juta di dalam daerah yang sama. Projek pembinaan jeti pendaratan ikan LKIM Bagan Pasir Penambang Kuala Selangor yang menjadi projek Gajah Putih, projek telah siap lebih 2 tahun tetapi tidak dapat digunakan kerana pelbagai masalah. Daripada maklumat yang kami terima isu tapak pembinaan masih belum mendapat kelulusan tukar syarat, bila isu tanah tidak selesai maka proses mendapatkan kebenaran merancang daripada pihak PBT pasti tidak boleh dilakukan. Persoalan yang timbul adalah bagaimana projek pembangunan boleh dilaksanakan, bagaimana bangunan boleh di didirikan, bagaimana proses mengeluarkan tender boleh dilakukan serta bagaimana bayaran boleh dikeluarkan kepada kontraktor sedangkan perkara asas dalam melaksanakan pembangunan tidak dibuat iaitu Kebenaran Merancang. Begitu juga satu lagi pembinaan kompleks nelayan kecil serta jeti pendaratan ikan di Kg Sungai Yu Kuala Selangor.Perkara yang sama juga berlaku isu tapak pembangunan yang belum selesai iaitu hak pemilikan tanah, proses tukar syarat tanah, sudah tentulah Kebenaran Merancang daripada pihak PBT iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor tidak diperolehi. Penduduk dan Nelayan merungut kerana kompleks yang cantik, siap dengan kemudahan Chalet yang khabarnya menelan belanja lebih RM 5 juta tetapi tidak dapat digunakan dengan sempurna, perkhidmatan eletrik dan air tidak dapat dibekalkan, perkhidmatan kebersihan tapak serta kutipan sampah tidak dapat dilakukan oleh pihak MDKS. Biro Kepenggunaan mempunyai banyak lagi contoh-contoh projek seperti yang telah dinyatakan tadi, bagi isu yang telah dibentangkan kami ingin mendesak agar pihak Audit Negara dan SPRM membuat siasatan segera ke atas semua projek-projek yang dibina tanpa mengikut aturan sebagaimana manual membangunkan sesuatu projek seperti yang gariskan oleh pihak Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Kewangan sendiri. Yahya Sahri, Pengerusi Biro Kepenggunaan Layari http://myahyasahri.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan