Ahad, 12 April 2009

Satu perjalananan seorang kanak-kanak ...(Drp Koleksi Maklumat)

Satu perjalananan seorang kanak-kanak yang begitu taat kepada perintah

Allah s.w.t.

SEMOGA MENJADI RENUNGAN BERSAMA
Hari itu selepas seminggu beraya dikampung,saya pulang ke Kuala Lumpur.
Memikirkan highway PLUS sibuk,saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama
yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah
sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan
makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul
dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera
menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
"Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.
Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang
20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain,sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu
saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa
menghampiri meja saya. "Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di
meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar
masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa
kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha.
Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun
orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar
ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin Abang perlukan kuih saya untuk
adik-adik Abang, ibu atau ayah Abang" katanya petah sekali sambil
tersenyum.Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian
dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah
RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya
berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.

Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah
terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10
pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil
kanak-kanak itu. "Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit Abang tadi pada pengemis tu? Duit tu Abang
bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya
mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah
berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak,mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu.
Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu. "Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang." Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam
plastik, sayah ulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan
ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak
yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan
saya, siapa kita sebenarnya! "

1 ulasan:

  1. Subhanallah..

    Masih ada lagi orang yang berhati mulia akhir zaman moden ni.Saya ingat org yng berhati mulia ni dah pupus yg ada hanya dalm kisah2 sejarah orang mulia yg terdahulu.

    Seperti mana kisah seorang kanak2 bercakap jujur kepada ketua penyamun yg mengatakan ada wang dalam poket sakunya.Hasil dari kepatuhan kpd ibunya supaya bercakap jujur beliau menjdi seorang tokoh islam yg mahsyur.

    Agaknya budak tersebut akan jadi apa ye bila besar nanti?Bakal pengganti ketokohan tok guru yg sudah lanjut usia yg susah dicari ganti?

    p/s : Terima kasih Cik Yahya sebab sudi kongsi kisah yg mengesankan hati ni.

    BalasPadam