Selasa, 28 April 2009

Kekalkan modal RM300j - BNM

Kekalkan modal RM300j - BNM
KUALA LUMPUR 27 April - Bank perdagangan yang baharu perlu mengekalkan dana modal minimum yang tidak akan terjejas oleh kerugian sebanyak RM300 juta pada setiap masa, demikian kata BNM hari ini.

Bank perdagangan itu hendaklah diperbadankan di Malaysia dan dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Mengenai pegangan saham asing, bank perdagangan itu dibenarkan memegang ekuiti asing sehingga 100 peratus, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sehingga dua lesen perbankan perdagangan baharu akan dikeluarkan kepada peserta asing yang berkelayakan dalam bidang perniagaan khusus bagi memenuhi keperluan dalam sektor kewangan dan merangsang perkembangan ekonomi sasaran.

Beliau berkata, tiga lesen perbankan perdagangan baharu akan dikeluarkan pada 2011 kepada peserta asing yang berkelayakan, yang boleh memberikan manfaat yang besar kepada Malaysia.

Pemohon hendaklah merupakan institusi kewangan asing bertaraf dunia yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, bereputasi tinggi dan mempunyai rekod prestasi yang teguh.

Dalam menilai kualiti pemohon, kriteria berikut akan digunakan:

n Pemohon hendaklah merupakan institusi kewangan berlesen asing yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan juga mempunyai reputasi tinggi serta mempunyai rekod prestasi yang teguh dalam bidang perniagaan khusus;

n Pemohon hendaklah dikawal selia oleh pihak berkuasa pengawalseliaan yang berwibawa di negara asalnya;

n Pemohon hendaklah disokong oleh pemegang saham yang mempunyai reputasi tinggi yang boleh menyediakan sokongan berterusan; dan

n Pemohon hendaklah mempunyai pelan perniagaan komprehensif, manfaat besar yang akan diperoleh dalam bidang kepakaran khusus, yang boleh menyediakan perkhidmatan kewangan kepada sektor pertumbuhan baharu dan ekonomi sasaran yang buat masa ini kurang mendapat perhatian dalam sektor kewangan.

Pemohon hendaklah berupaya untuk membawa masuk kepakaran khusus yang diperlukan, serta pengetahuan dan teknologi bagi menyumbang secara membina terhadap bidang perniagaan khusus dalam sektor kewangan.

Menurut bank pusat itu, kriteria yang sama juga digunakan terhadap tiga lesen perbankan yang akan dikeluarkan pada 2011 dengan peruntukan tambahan yang memerlukan pemohon menyumbang ke arah usaha mempertingkatkan kesalinghubungan global dan membantu aliran perdagangan antarabangsa dan pelaburan antara Malaysia dengan negara-negara lain di dunia.

"Selain itu, manfaat besar kepada Malaysia akan antara lain, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa dan pusat perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (SSO)," katanya.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia selewat-lewatnya pada 31 Disember 2009. Pemohon yang berjaya akan memulakan operasi di Malaysia berkuat kuasa 1 Januari 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan