Isnin, 14 Jun 2010

PERGINYA SEORANG PEJUANG TULIN ALMARHUM USTAZ HASSAN SYUKRI

14 Jun 2010 (Isnin) jam 2.00 petang perginya menemui Illahi seorang insan yang aku gelar pejuang tulin. Almarhum Ustaz Hassan Syukri telah lama aku kenali lebih 15 tahun lalu, lebih rapat selepas tahun 1998 hampir setiap hari bertemu hingga menjelang pilihnaraya 1999. Teringat pertemuan secara rasmi bila mana aku mewakili parti bersama Dr Ghazali Basri, Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor Parti Keadilan Nasional yang pertama membuat perbincangan rasmi bertempat di Pejabat Koperasi Al Hilal di Jalan Pahang Kuala Lumpur.
Almarhum Ustaz Hassan merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor ketika itu memang telah lama juga mengenai Dr Ghazali Basri kerana Dr Ghazali dan Ustaz Hassan berasal daripada Sabak Bernam. Pertemuan awal kami dimulai dengan Almarhum Ustaz dan Dr Ghazali bercerita kisah-kisah silam di kampung serta perjuangan Islam masa silam.

Almarhum yang aku kenali seorang yang cukup tegas serta cukup komited dengan perjuangan Islam khusunya melalui wadah kerpartian, ikutnya bersama pergerakan Islam sejak sebelum merdeka. Mula bertanding dalam pilihanraya sejak sebelum merdeka. Bersama dalam penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Pelbagai jawatan dalam PAS yang pernah disandangnya antaranya Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Pesuruhjaya Negeri serta pelbagai Lajnah yang diterajuinya, diberi pengiktirafan oleh PAS dengan melantiknya menjadi Ahli Dewan Negara. Kecekalan Almarhum harus dijadikan contoh kerana beliau bersama PAS ketika setiap kali PAS bertanding dalam pilihanraya tak kira Pilihanraya Umum ataupun Pilihanraya Kecil, PAS akan hilang wang pertaruhan. Pada Almarhum kecurangan SPR dalam pilihanraya telah cukup masak, soal perundingan kerusi pilihanraya juga telah masak baginya. Teringat aku setiap kali perundingan kerusi DUN dan Parlimen Negeri Selangor maka kisah PAS dalam BN, kisah Angkatan Perpaduan Ummah (APU), kisah Semangat 46 sentiasa menjadi bualan.

Sejak tahun 1999 Almarhum tidak menyertai Pilihanraya tapi aku bangga bila jumpa beliau di Parlimen sebaik sahaja beliau angkat sumpah sebagai senator. Tahniah ustaz aku hulurkan tangan, beliau jawap ini belum apa-apa perjuangan masih jauh lagi. Aku cukup bangga kerana aku mengenai seorang insan yang cukup komited dalam perjuangan , maka tahun ini aku sendiri kehilangan dua orang yang aku rasakan sebagai guru ku dalam megharungi perjuangan .
Ya Allah ampunkan segala dosa Ustaz Hassan Syukri, terimalah segala amal ibadatnya, terimalah solatnya, terimalah, hajinya, terimalah sedekah jariahnya, terimalah segala pengorbanan tenaganya ...Ya Allah tempatkan rohnya bersama para solehin dan para syuhadak..

Layari http://myahyasahri.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan