Sabtu, 29 Jun 2013

LAPORAN KHAS KES YAHYA SAHRI

LAPORAN KHAS KES YAHYA SAHRI: DISABITKAN KESALAHAN DI BAWAH DIBAWAH SEKSYEN 420 KANUN ACARA JENAYAH, 2 TAHUN PENJARA DAN 2 SEBATAN OLEH : KAMARUL BAHRIN BIN ZAHID, KETUA SEKRETARIAT PENYELARAS PASUKAN PEGUAM PASUKAN PEGUAM : 1.AHMAD NIZAM ABD HAMID, 2. SURESH THANABASI 3.R.TIRUKUMARAN KRONOLOGI FAKTA KES; 1.Laporan kepada SPRM oleh Mohamad Ezam bin Mohd Noor pada 24 Jun 2008, Kepala surat pejabat Menteri Besar Selangor digunakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk mengutip sumbangan syarikat swasta sempena sambutan 100 hari pentadbirannya Selangor. 2.23 Jun 2008 – Haji Yahya Sahri, Meletak Jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas YAB MB Selangor dan Setiausaha Perhubungan Negeri Selangor Parti Keadilan Rakyat. 3.2 Nov 2009 – Hj.Yahya Sahri -Hadir di Pejabat SPRM untuk tangkapan dan di Jamin RM 10,000.00 4.3 Nov 2009 – Hj.Yahya Sahri di Dakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Hadapan Hakim Syafeera binti Mohd Said , dijamin RM 10,000.00 5.21-25 Jun 2010 – Mula pembicaraan , Hakim Tuan Azhaniz Teh bin Azman Teh, Pendakwaraya Puan Roziza binti Sidek 6.Didakwa oleh Pendakwa Raya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dihadapan Hakim Tuan Azhaniz Teh bin Azman Teh, dengan Pertuduhan; “Bahawa kamu, pada 4 Jun 2008, antara jam 1.00 petang dan 3.00 petang , di Gardenia Coffee House, Hotel Quality, Bangunan Perangsang Shah Alam, di dalam Daerah Petaling, di dalam Negeri Selangor telah menipu Abdul Karim bin Munisar (No Kp 500608-02-5531) dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat, yang kamu sebagai Pengarah Program Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat, dan dengan itu, kamu telah curangnya mendorong Abdul Karim Munisar untuk menyerahkan wang yang berjumlah RM 50,000.00 kepada kamu sebagai sumbangan, yanag mana Abdul Karim bin Munisar tidak akan melakukanya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan” 7.Pendakwa telah mengemukakan 28 saksi pendakwaan manakala tertuduh mengemukakan 8 Saksi Pembelaan. 8.Hakim Tuan Azhaniz Teh bin Azman Teh telah membuat keputusan penghakiman pada 20 Mei 2011, Pernyataan penghakiman, “ Akhir sekali setelah mahkamah membuat penilaian maxima ke atas keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pembelaan bersama-sama dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan, maka mahkmah ini mendapati dan memutuskan bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dikenakan kepada tertuduh. Dengan itu pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes mereka ketahap melampaui keraguan munasabah. Oleh demikian OKT dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan dan wang jaminan dipulangkan kepada penjamin.” 9.Petikan Alasan Penghakiman, “ Oleh itu bagi pihak pendakwaan Berjaya didalam kes mereka kesemua intipati diatas perlulah dibuktikan. Di dalam kes ini OKT telah dipanggil untuk membela diri bagi tuduhan dibawah seksyen diatas yang mana ujian yang telah saya gunakan untuk menentukan kes prima facie ke atas OKT adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam ke Kes Balachandran V Public Prosecutor (2005) 1 CLJ 85 dimuka surat 100. Selepas meneliti keseluruhan kes pembelaan saya berpuas hati bahawa pihak pembelaan telah Berjaya mengemukakan bukti-bukti secara dokumen dan keterangan saksi-saksi pembelaan untuk mematahkan kes pihak pendakwaan, dengan lain perkataan telah Berjaya menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan. Keraguan yang ditimbulkan adalah amat ketara hinggakan saya sendiri mempersoalkan keputusan saya dalam memanggil OKT untuk membela diri. Keraguan-keraguan yang ditimbulkan adalah seperti berikut; a.Saksi terpenting bagi kes pihak pendakwaan iaitu PW 14 Dato’ Abdul Karim bin Munisar yang mana merupakan Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sendiri telah mengesahkan bahawa beliau telah memberi sumbangan berjumlah RM 50,000 kepada Parti yang n juga mana tidak dipertikaikan. Seterusnya PW14 Dato’ Abdul Karim bin Munisar juga menegaskan bahawa beliau tidak pada bila-bila masa merasakan bahawa OKT telah menipu beliau semasa atau pada masa material sumbangan tersebut diminta dan juga PW14 Dato Abdul Karim Munisar sendiri mengetahui bahawa wang tersebut adalah bertujuan untuk aktiviti parti semasa parti semasa sambutan parti tersebut. 10.Pendakwa Raya telah memfail Notis Rayuan pada 25 May 2011 kepada Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam. 11.Bicara Kes Rayuan di Hadapan Hakim Mahkamah Tinggi , Dato’ Abdul Alim bin Abdullah pada 18 Jun 2013 dan keputusan penghakiman pada 27 Jun 2013, jam 12.30 tengahari. Dengan menjatuhkan hukuman bersalah dengan hukuman 2 tahun penjara dan 2 kali sebatan. 12.Apa tindakan Yahya Sahri dan Pasukan Peguam, Peguam sedang menyediakan Notis Rayuan Penghakiman Ke Mahkamah Rayuan Putra Jaya. Notis selewat-lewatnya akan difailkan pada 3 Julai 2013. LIPUTAN AKHBAR YANG LEPAS Bekas pembantu MB Selangor bebas tuduhan tipu TERKINI @ 04:53:56 PM 20-05-2011 Oleh Clara Chooi May 20, 2011 SHAH ALAM, 20 Mei — Pemimpin PKR Mohd Yahya Mat Sahri, bekas pegawai kanan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan menipu oleh Mahkamah Sesyen, hari ini. Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah gagal membuktikan tuduhan di luar keraguan munasabah bahawa Yahya telah melakukan kesalahan dimaksudkan. Malah kata beliau, pihak pembela juga telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah berhubung tuduhan ke atasnya. Ketua cabang PKR Tanjung Karang berusia 44 itu berhadapan dengan tuduhan menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) berhubung Majlis Sambutan 100 hari Pakatan Rakyat dua tahun lepas. Pada Disember 2010, mahkamah mengarahkan beliau membela diri kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie. Mohd Yahya dituduh menipu Presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi membiayai majlis sambutan itu di Gardenia Coffee House, Quality Hotel, Shah Alam pada 4 Jun 2008. Tertuduh selaku pengarah program acara itu, dituduh mendorong Abdul Karim untuk menyerahkan wang berjumlah RM50,000 kepada beliau sebagai sumbangan, sedangkan Abdul Karim tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda. Seramai 36 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan - 28 orang dibawa pendakwa raya termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri, Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali manakala empat di pihak pembela termasuk Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad. Di luar mahkamah kemudian, Mohd Yahya memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur dengan keputusan hari ini dan akan meneruskan kerja-kerjanya selaku ahli politik sepenuh masa.   Bukti: Surat MB S'gor minta derma Jimadie Shah Othman Jul 1, 08 11:50am kemaskini 2:03pm Kepala surat pejabat menteri besar Selangor digunakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk mengutip sumbangan syarikat swasta sempena sambutan 100 hari pentadbirannya, kata Mohamad Ezam Mohd Nor. Dalam aduannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pagi ini, bekas pemimpin kanan PKR itu mendakwa nombor faksimili yang tertera di surat itu juga menunjukkan ia dihantar dari pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Saya tidak boleh tunjukkan isi sebab saya sudah serahkan pada BPR. Yang saya nak tunjukkan, kepala surat pejabat menteri besar Selangor dan juga ada nombor faks (dihantar) kepada pihak (syarikat) yang diminta sumbangannya. "Nombor faks tersebut adalah nombor faks pejabat menteri besar Selangor. "Jelas (PKR) menggunakan pejabat menteri besar Selangor untuk tujuan individu dan parti yang, bagi saya, jelas salah guna kuasa," katanya dalam sebuah sidang media selepas menyerahkan dokumen itu. Mengulas perkembangan lanjut siasatan isu tersebut yang meledak minggu lepas, Ezam berkata: "Mereka (BPR) memberitahu sudah memulakan siasatan terhadap kes ini. Dan siasatan masih belum selesai dan dokumen ini mungkin dapat membantu. "Pada asasnya, mereka bersetuju (tindakan itu) mempunyai unsur salah guna kuasa dalam kes ini. Bagaimanapun, keputusan muktamad dapat diberitahu selepas siasatan selesai." Ahli Umno itu berkata pembabitan adik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam syarikat besar milik kerajaan negeri Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) menunjukkan amalan nepotisme dalam pentadbiran Selangor. "Saya mohon penjelasan. Saya rasa menteri besar sendiri dah buat penjelasan semalam. Memang ada pelantikan dan dia telah letak jawatan. "Ini salah satu bukti parti dan kelompok yang mahukan reformasi. Salah satu ciri reformasi adalah mengelakkan nepotisme, pilih kasih. "Tetapi ia berlaku dalam tempoh 100 hari dalam satu syarikat terbesar kerajaan negeri melibatkan adik Anwar sendiri," katanya. Dokumen itu diserahkan kepada seorang pegawai badan itu, Jaafar Mahat pada 10:45 pagi di pejabat BPR Selangor di Shah Alam. Mengulas dakwaan dan siasatan kes liwat bekas ketuanya itu, Mohamad Ezam berkata "hanya penuduh, tertuduh dan Allah sahaja yang mengetahuinya." Bagaimanapun beliau tidak bersetuju tindakan mengaibkan seseorang dalam kes seumpama ini, tambahnya.   Bukti wang S'gor masuk akaun PKR Fathi Aris Omar & Muda Mohd Noor Jun 26, 08 7:23pm Mohd Yahya Mat Sahri, yang meletakkan jawatannya itu Isnin lepas, dikatakan membuat pendedahan itu dalam mesyuarat perhubungan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi. "Beliau (Yahya) juga mengakui membawa wakil PAS dalam mesyuarat (tentang akaun tersebut)," kata seorang, daripada beberapa pemimpin parti yang turut hadir, kepada Malaysiakini. Wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kata sumber-sumber, "dipindahkan kepada akaun PKR negeri kerana Pakatan belum mempunyai akaun tersendiri." Akaun itu dipercayai wujud sejak kempen pilihanraya umum Mac lalu sebelum parti itu, bersama DAP dan PAS, berjaya merampas Selangor daripada BN. Cara PKR mengendalikan wang derma itu dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut. Menurut menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengakui wujud pemindahan wang tersebut Isnin lalu, jawatankuasa sambutan itu turut disertai oleh Yahya dan beberapa pegawai kerajaan negeri. Abdul Khalid, yang juga ketua perhubungan PKR negeri, turut hadir bersama Yahya, yang telah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan negeri Isnin lalu. Dalam mesyuarat semalam, Anwar meminta semua pihak akur pada keputusan menteri besar menggantung tugas Yahya selama dua bulan mulai Isnin. Beliau juga dikatakan menegur Yahya yang membangkitkan masalah dalaman kerajaan dan isu parti kepada pihak media – bagaimanapun tidak jelas isu sebenarnya yang dibangkitkan. Ketua umum PKR juga dikatakan meminta semua pemimpin parti agar tidak mengetengahkan masalah yang membabitkan parti kepada pihak media. "Bagaimanapun, secara keseluruhannya mesyuarat malam tadi berjalan dengan baik dan dalam suasana ceria," kata sumber-sumber itu. Menurut mereka lagi, Yahya telah memohon maaf kepada semua yang hadir berhubung tindakannya mendedahkan isu-isu itu kepada media. Anwar juga dikatakan meminta menteri besar menggantikan pegawai-pegawai tinggi era pentadbiran BN yang masih mengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Sumber-sumber itu berkata, penggantian itu tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelak rasa kurang senang rakyat Selangor. Mesyuarat selama dua jam itu bermula selepas jam 9 malam di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya. Turut hadir di mesyuarat itu, wakil-wakil rakyat PKR negeri, ketua-ketua bahagian dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dari negeri itu. Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemindahan wang kerajaan itu ke akaun PKR. Akhbar-akhbar hari ini melaporkan Abdul Khalid berkata penggantungan Yahya akibat isu kutipan wang sempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor. Layari http://myahyasahri.blogspot.com/